Dalam entri-entri yang lepas, penulis ada berkongsi tentang tugas dan peranan ahli farmasi di hospital. (rujuk entri Apa Tugas Farmasi Dalam Hospital?) Kali ni, penulis akan cuba berkongsi pula tentang peranan dan tanggung jawab seorang ahli farmasi yang bertugas di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi.
“Farmasi bukan sekadar tukang bagi ubat.”
Cawangan Penguatkuasa Farmasi
Cawangan Penguatkuasa Farmasi berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan bahagian farmasi, dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain, antaranya Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.
Akta dan Peraturan yang dikuatkuasakan
Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan oleh Penguatkuasaan Farmasi adalah tertakluk kepada lima Akta dan Peraturan-peraturannya. Akta dan Peraturan yang dikuatkuasakan ialah:
1. Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371)
Peraturan-peraturan Pendaftaran Ahli Farmasi 2004
2. Akta Racun 1952 (Akta 366)
Peraturan-peraturan Racun 1952
Peraturan-peraturan Racun (Natrium Hidroksida)1962
Peraturan-peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989
3. Akta Jualan Dadah 1952 (Akta 368)
Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984
Peraturan-peraturan Jualan Dadah (Perakuan Analisis) 1997
4. Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 (Akta 290)
Peraturan-peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976
5. Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234)
Peraturan-peraturan Dadah Berbahaya 1952
Aktiviti Cawangan Penguatkuasa Farmasi negeri
CPF negeri yang diletakkan di bawah pentadbiran pejabat Pengarah Kesihatan Negeri secara amnya menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan yang sama. Aktiviti ini merangkumi:
1. Pelesenan
Ini melibatkan pengeluaran lesen racun (Jenis A, B), permit untuk membeli dan mengguna bahan psikotropik (buprenorphine dan methadone) dan permit untuk membeli, menyimpan dan mengguna natrium hidroksida di bawah Akta Racun 1952 kepada individu yang layak untuk mengendalikan racun, ubat terkawal atau bahan kimia untuk tujuan yang sah, antaranya untuk tujuan rawatan perubatan/ pergigian/ veterinar, penyelidikan atau kegunaan industri.
2. Pemeriksaan
Pemeriksaan ke atas premis merupakan satu cara pemantauan bagi memastikan undang-undang yang dikuatkuasakan dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam pengendalian racun, ubat terkawal, keluaran penjagaan kesihatan, kosmetik atau bahan kimia dan memastikan hanya ubat berdaftar dan kosmetik bernotifikasi berada dalam pasaran bagi menjamin keselamatan pengguna.
Jenis premis boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu :
premis berlesen
premis yang mempunyai lesen/ permit di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan. Contohnya premis farmasi komuniti, kilang-kilang racun, dan sebagainya.
premis berdaftar
klinik perubatan, klinik pergigian, klinik veterinar dan hospital swasta
premis tidak berlesen/ berdaftar.
kedai ubat tradisional, kedai runcit, salun kecantikan, pasar malam dan sebagainya
3. Persampelan
Aktiviti ini dijalankan dari semasa ke semasa dengan mengambil sampel ubat berdaftar/ kosmetik bernotifikasi/ makanan atau minuman dengan kriteria tertentu dari pasaran untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang.
4. Penyaringan iklan ubat dan perkhidmatan kesihatan
Pemantauan iklan ubat dan perkhidmatan kesihatan di media cetak dan media elektronik dijalankan sepanjang tahun bagi memastikan iklan yang disiarkan adalah betul dan tidak memperdayakan orang awam.
untuk maklumat lanjut sila ke entri Iklan Ubat di Laman Sosial
5. Audit
Audit merupakan pemeriksaan khas yang dijalankan ke atas premis yang terlibat dalam pengendalian ubat terkawal tertentu seperti bahan psikotropik, atau prekursor bagi mengesahkan pembelian, pembekalan/ penjualan dan penggunaannya untuk tujuan yang sah seperti yang ditetapkan undang-undang.
6. Risikan dan Operasi
Sebarang ketidak patuhan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan dikesan melalui pemeriksaan, persampelan, penyaringan iklan ubat dan perkhidmatan kesihatan, audit, aduan atau maklumat yang diterima daripada orang awam atau agensi lain akan dijalankan risikan untuk mengumpul maklumat yang secukupnya bagi menentukan kesahihan dan membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya.
Antara tindakan tersebut ialah amaran, pembatalan lesen/ permit atau serbuan. Serbuan dijalankan sepanjang tahun untuk mengekang mana-mana ubat, kosmetik yang menyalahi undang-undang daripada terus berada di pasaran dan menghentikan kegiatan yang bertentangan dengan kehendak undang-undang yang dikuatkuasakan.
7. Siasatan
Kertas siasatan akan dibuka bagi setiap serbuan yang berjaya untuk mendapatkan keterangan atau bukti bagi tujuan pendakwaan di mahkamah. Siasatan melibatkan pengumpulan barang kes (dokumen) daripada agensi lain, analisis ke atas barang kes yang dirampas dan pengambilan keterangan daripada saksi yang berkaitan.
8. Pendakwaan
Semua kertas siasatan yang telah lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut. Sekiranya arahan mendakwa diberikan, kes akan didaftarkan di mahkamah. Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk kes didengar di hadapan majistret dan pendakwaan akan dijalankan oleh pegawai penguat kuasa farmasi sendiri.
9. Pencegahan dan kesedaran penguna
Selain aktiviti penguatkuasaan, CPF negeri juga bertanggungjawab untuk menyelaras dan menjalankan aktiviti kesedaran dan pencegahan pengguna melalui pameran, dialog dan ceramah kepada orang awam untuk mendidik orang awam mengenai kepentingan menggunakan ubat berdaftar, kosmetik bernotifikasi dan penggunaan ubat-ubatan yang selamat.
10. Saringan import di pintu masuk Kastam
CPF negeri yang mempunyai pintu masuk seperti lapangan terbang, pelabuhan, pusat mel dan sempadan turut menjalankan aktiviti saringan dokumen import dan pemeriksaan ke atas konsaimen (kargo/ bagasi penumpang/ bungkusan pos) bagi memastikan pengimportan racun, ubat terkawal, kosmetik atau bahan kimia dilakukan mengikut kehendak undang-undang.
Mana-mana pengimportan racun, ubat, kosmetik atau bahan kimia yang tidak selaras dengan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan akan ditahan dan dirampas oleh Kastam Diraja Malaysia atas nasihat daripada CPF negeri.
Untuk maklumat lanjut
Untuk mendapatkan maklumat lanjut terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Penguatkuasaan Farmasi dan Cawangan Penguatkuasa Farmasi negeri serta akta dan peraturan yang dikuatkuasakan, sila layari www.pharmacy.gov.my.
Sumber dan Rujukan
1. Salina bt. Mohd Zamani (2015). Aktiviti Penguatkuasaan Bahagian Perkhidmatan Farmasi. Portal MyHealth Kementerian Kesihatan malaysia. Dipetik dari http://www.myhealth.gov.my/aktiviti-penguatkuasaan-bahagian-perkhidmatan-farmasi/
2. Laporan Tahunan Program Farmasi, KKM 2010
3. Malaysian Laws on Poisons and Sale of Drugs
4. Bahagian Perkhidmatan Farmasi. (2013). Sejarah Kami. Dipetik dari https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/entri/sejarah-kami.html
5. Jom Kenal Ubat. (2017). Penguatkuasaan Melalui Pemeriksaan. Facebook page. dipetik dari https://www.facebook.com/Jomkenalubat/posts/1394690230630306
Perkongsian info yg brmnfaat
ReplyDeletesalam kenal singgah sini ya. banyak info kat sini, tq for sharing..
ReplyDeletemcm mn kalau ubat2 terlarang tu boleh lps kastam ya? kalau sebiji dua tu x pe kalau berkotak2 tu...?
ReplyDeleteseperti yang telah disebut dalam entri ni, sekiranya sesebuah negeri tersebut mempunyai pintu masuk dari negara luar, sama ada dari lapangan terbang penumpang dan kargo, pejabat pos, pelabuhan kapal kontena, atau sempadan pintu masuk, pegawai farmasi penguatkuasa akan ditugaskan di sana.
Deletetapi penyeludupan ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan terlarang masih berlaku kerana mungkin disebabkan beberapa faktor.
antaranya, sesetengah negeri masih kekurangan tenaga kerja pegawai farmasi penguatkuasa sehingga penyaringan terhadap barangan yang masuk ke dalam malaysia tidak dapat dijalankan 100%.
selain tu, sekarang ni orang yang nak buat jahat semakin licik. banyak helah yang dilakukan supaya penyeludupan ubat ini tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa sama ada dari segi dokumen dan sebagainya.
perkongsian yang menarik
ReplyDeleteSalam,, saya nk tanya..kalau nak bekerja di bahagian penguatkuasaan..
ReplyDeleteKena buat PRP di hospital bawah KKM ke?
ya. perlu kerja dibawah penjawat awam. malah ada sesetengah cawangan penguatkuasaan farmasi negeri yang tidak menerima penjawat awan jenis kontrak, hanya mahukan yang lantikan tetap.
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete