Tuesday 26 September 2017

Sejarah Profesyen Ahli Farmasi di Malaysia



Salam  hari farmasi sedunia buat semua pembaca. bersempena dengan sambutan hari farmasi sedunia yang disambut setiap tahun pada 25 september, boleh kita selusuri sejarah perkembangan profesyen farmasi di malaysia.

Sejarah Profesyen Ahli Farmasi di Malaysia


Sejarah perkembangan farmasi di Negara kita sebenarnya bermula sebelum kita merdeka lagi. Suatu ketika dahulu sebelum Pegawai Farmasi di negara kita dikenali sebagai “Ahli farmasi”, golongan ini pada mulanya dikenali sebagai “Ahli Kimia Ubat” (AKU).

Akta Pendftaran Ahli Farmasi mula dikuatkuasakan pada tahun 1951. Setahun selepas itu (1952) Akta Racun dan Akta Dadah Berbahaya pula dikuatkuasakan. Melalui akta ini, semua Ahli Farmasi dalam negara ini perlu berdaftar dengan Lembaga Farmasi Malaysia

Pada tahun 1952 Lembaga Farmasi hanya memperakui 20 Ahli Farmasi sahaja dalam negara ini. Kemudian pada tahun 1957 terdapat seramai 23 orang Ahli Farmasi berdaftar berkhidmat dalam sektor awam.


Pada masa itu, ternyata sangat kurang ahli Farmasi. Dalam masa yang sama keperluan lebih ramai lagi Ahli Farmasi diperlukan untuk menyedia dan mengekalkan perkhidmatan asas unit farmasi di hospital-hospital awam dan klinik kesihatan. Maka bagi mengatasi masalah ini, maka tertubuhlah “Dispenser Training School” pada ketika itu sebelum wujudnya Universiti yang menawarkan kursus Sarjana Muda Farmasi.

Selepas negara kita merdeka, Makmal Ubat dan Stor telah dibina di Petaling Jaya pada tahun 1969. Dengan pembinaan Makmal ini maka bermulalah perkembangan peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh ahli farmasi bawah KKM yang dikenali kini sebagai “Bahagian Perkhidmatan Farmasi”(BPF) bermula januari 1974.

Setelah dua tahun BPF KKM beroperasi, maka pada 1 Januari 1976 Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) KKM diwujudkan sebagai sebuah cawangan di bawah BPF KKM. Peranan CPF tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan perundangan berkaitan farmasi  dan perdagangan farmaseutikal di negara ini secara lebih berkesan.

Seterusnya pada tahun 1978 Makmal Kawalan Kimia Ubat Kebangsaan (MKKUK) telah ditubuhkan bertujuan untuk melaksanakan tanggungjawab regulatori berkaitan ubat-ubatan di negara ini. Kemudiannya MKKUK ini dikenali sebagai Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan kini pada tahun lepas (2016) ia telah diberi nama sekali lagi sebagai Bahagian Regulatori Farmasi Negara  atau singkatannya NPRA.


Pada tahun 1984, Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik pula diisytiharkan. Semenjak itu bermulalah satu era baru dalam sistem regulatori produk farmaseutikal yang bersistematik di Malaysia.

Kemudian tertubuhnya pula “Pihak Berkuasa Kawalan Dadah” (PBKD) atau juga dikenali sebagai (Drug Control Authority : DCA). PBKD ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (KPK). Tujuan PBKD ini adalah untuk memastikan Kualiti, Keselamatan dan Keberkesanan (3K) sesuatu produk farmaseutikal sebelum boleh dipasarkan di Malaysia.

Untuk mencapai matlamat 3K itu tadi, PBKD melalui sekreteriat yang berpusat di NPRA akan menjalankan fungsi kawal selia seperti pendaftaran produk, analisa sampel, pemeriksaan dan pelesenan, pasca pemasaran, pengawasan dan pemantauan kesan sampingan ubat .

Begitu kisahnya bagaimana bermulanya semua ubat-ubatan perlu berdaftar dalam negara ini dan aktiviti-aktiviti lain mula berkembang seperti pemeriksaan dan pelesenan GMP kepada kilang-kilang farmaseutikal  dan aktiviti pemantauan pasca pemasaran bagi produk-produk farmaseutikal yang telah berdaftar.

#WorldPharmacistsDay2017
#MyWPD2017




sumber dan rujukan:
1. The Dressar & Co. (2017 Sept 25). Sejarah Profesyen Ahli Farmasi di Malaysia. Facebook status. dipetik dari https://www.facebook.com/thedressar/posts/1929562497303641
2. Dr. Khoo Yoong Khean. (2015 Jun 3). Cabaran Seorang Pegawai Farmasi – Norvena binti Hisyam. The malaysian medical gazette. diperoleh dari http://www.mmgazette.com/cabaran-seorang-pegawai-farmasi-norvena-binti-hisyam/


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...