Wednesday 12 June 2013

Tips Penggunaan Ubat yang Selamat


1. Kenali ubat anda. Ambil tahu tentang nama, warna, nombor, atau simbol yang terukir, pada ubat. Terutamanya nama ubat. Sebagai contohnya, jika doctor/ahli farmasi tanya berkenaan ubat yang sedang anda ambil, daripada anda sebut 'ubat kencing manis', anda boleh berikan nama ubat seperti 'gliclazide' dan sebagainya.


2. Ambil ubat anda seperti yang telah diarahkan/dipreskripsikan oleh doctor. Ikut arahan doktor dan ahli farmasi anda. Minta bantuan doktor/ahli farmasi mengulangi arahan tersebut atau mencatatkan arahan-arahan tertentu jika anda tidak faham atau khuatir terlupa arahan tersebut.

3. Ambil ubat anda sahaja. Jangan mengambil ubat orang lain kerana ianya mungkin akan memudaratkan anda dan menyebabkan rawatan anda bertambah rumit. Jangan berkongsi ubat anda dengan orang lain.

4. Berbincanglah dengan kumpulan professional kesihatan mengenai masalah perubatan dan kesihatan anda. Ini termasuklah mengenai ubat preskripsi atau tanpa preskripsi (over-the-counter) seperti makanan tambahan kesihatan, vitamin dan ubat sediaan herba. Mereka dapat membantu anda kerana mereka mengetahui lebih banyak maklumat mengenai ubat tersebut. Jika anda mempunyai pertanyaan atau kemusykilan, jangan malu untuk bertanya kepada doktor atau ahli farmasi berdekatan anda.

5. Perhatikan jika berlaku kesan sampingan atau interaksi ubat. Jika terdapat sebarang gejala atau perubahan pada diri anda yang tidak dijangka selepas pengambilan ubat, segera maklumkan doktor atau ahli farmasi anda  .

6. Pastikan anda memenuhi semua temujanji dengan doktor dan sebarang ujian pemantauan yang dijadualkan oleh doktor atau makmal.

7. Bawa bersama seorang kawan atau saudara ke temujanji anda jika ini boleh membantu anda untuk lebih memahami atau mengingati maklumat daripada doktor anda.

8. Pastikan preskripsi anda diisi semula lebih awal untuk mengelakkan kehabisan ubat. Ini akan mengelakkan daripada jadual pengambilan ubat anda tergendala.

9. Sebelum melancong, tanya doktor atau ahli farmasi bagaimana untuk menyesuaikan jadual pengambilan ubat anda dengan mengambil kira perubahan waktu, rutin dan pemakanan. Bawa bersama nombor telefon doktor dan ahli farmasi anda. Apabila menaiki penerbangan, bawa ubat anda bersama dan jangan masukkan ke dalam bagasi. Ini bagi memastikan ubat tidak terdedah kepada suhu panas atau sinar matahari.

10. Gunakan takwim, kotak pil atau perkara lain untuk mengingatkan anda tentang jenis ubat dan waktu yang perlu diambil. Ramai orang menggunakan carta atau jadual bertulis untuk mengingati pengambilan ubat mereka. Ada yang menggunakan bekas dengan warna penutup yang berbeza, bahagian yang berlainan atau loceng yang berbunyi pada waktu-waktu tertentu

11. Simpan ubat di dalam bekas asalnya melainkan diarahkan sebaliknya dan jangan letakkan pelbagai jenis ubat di dalam satu bekas.

12. Simpan ubat di tempat yang dingin dan kering, jauh daripada cahaya. Jangan simpan ubat di tempat yang lembab dan panas kerana ini boleh mengurangkan keberkesanannya. Jangan simpan ubat di dalam peti sejuk, kecuali ditulis pada label atau diarah oleh ahli farmasi atau doktor.

13. Jauhkan ubat anda dari kanak-kanak. Jika terdapat kanak-kanak di rumah. jauhkan semua ubat anda dari penglihatan dan capaian mereka.

14. Lakukan pemeriksaan berkala ke atas ubat-ubatan anda. Kemaskan kotak ubat anda dan buangkan semua ubat yang lama atau luput tarikhnya.

15. Minta ahli farmasi menyemak semua ubat yang anda ambil pada waktu kini. Maklumkan mereka tentang semua ubat over-the-counter, vitamin, makanan tambahan kesihatan dan ubat herba yang anda ambil.


sumber dan rujukan

Din R, Baharudin NF, Othman H (2011 march 15). Panduan Penggunaan Ubat yang Selamat. MyHEALTH. Retrieved from http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php/my/ubat-a-anda/umum/panduan-penggunaan-ubat-yang-selamat 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...