Sunday, 3 September 2017

Terapi Gantian Methadone


Dalam entri lepas yang bertajuk “Apa Tugas Farmasi Dalam Hospital”, penulis telah terlepas pandang 1 lagi tugas seorang ahli farmasi dalam hospital yang tak kurang pentingnya tapi seringkali tidak diketahui umum iaitu Farmasi Terapi Gantian Methadone.


Apa Itu Terapi Gantian Methadone?


Terapi Gantian Methadone atau Methadone Replacement Therapy (MRT) adalah satu program yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha Negara menangani HIV/AIDS di kalangan pengguna dadah suntikan dan di masa sama menangani isu penagihan opiat khususnya heroin di Malaysia.


Sebelum MRT diwujudkan, statistic menunjukkan 74% dari jumlah jangkitan HIV yang dilaporkan di Malaysia dari tahun 1986 sehingga 2004 adalah disebabkan penagihan dadah suntikan.

Dan sejak program ini dijalankan bermula oktober 2005, keberkesanan program ini telah terbukti dalam menangani isu HIV/AIDS dan penagihan. Jadi adalah penting program ini dapat diperluaskan perkhidmatan dan liputannya dalam memastikan jangkitan HIV dan penagihan terutamanya opiat dapat terus dibendung.


Dalam program ini, pesakit yang terlibat adalah penagih dadah jenis opiate seperti heroin. Mereka akan diberikan dos Methadone secara oral (ubat sirap) dengan cara DOT (direct observe therapy) dimana mereka harus minum sirap methadone di premis yang disediakan (sama ada di hospital, klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta yang terpilih) dan disaksikan oleh ahli farmasi setiap hari.


Apa Itu Methadone?



Methadone adalah sejenis ubat sintetik yang menghasilkan kesan sama seperti heroin dan morfin dalam mencegah gejala tarikan (akibat tidak mengambil heroin) dan memenuhi keperluan fizikal penagih untuk mengambil heroin dengan menakluki / mengisi tapak reseptor otak yang terjejas oleh heroin dan opiat lain tanpa kesan khayal.

 Methadone bertindak;
• Menghalang kesan euforia dan sedasi daripada opiat;
• Mengurangkan keinginan untuk opiat yang merupakan faktor utama untuk relaps;
• Melegakan gejala tarikan opiat;
• Membolehkan seseorang untuk bekerja dan memainkan peranan dalam masyarakat secara normal

Rawatan Methadone diberi setiap hari sebagai pesakit luar secara oral (ubat sirap). Penyertaan dalam Program Rawatan Methadone ini juga dapat menjadi platform bagi pesakit mengesan masalah kesihatan yang lain seperti HIV, hepatitis dan Tibi.

Objektif Rawatan Methadone


Objektif Umum

Untuk mengurangkan jangkitan penyakit bawaan darah dalam kalangan pengguna
dadah secara suntikan selain membantu dan merawat pesakit yang mempunyai masalah penagihan khasnya opiat dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Objektif Khusus

•Mengurangkan risiko dan penyebaran jangkitan HIV dalam kalangan pengguna dadah suntikan dan pasangan.
•Mengurangkan risiko dan penyebaran jangkitan penyakit bawaan darah yang lain seperti hepatitis B dan C.
•Mengurangkan penyalahgunaan dadah opiat dan komplikasi sampingan
•Mengurangkan kejadian pesakit relaps / menagih semula.
•Meningkatkan kesihatan mental dan fizikal pesakit.
•Meningkatkan keupayaan sosio ekonomi pesakit dan membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan.
•Meningkatkan kesediaan dan penyesuaian pesakit untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
•Meningkatkan keselamatan masyarakat dan mengurangkan kegiatan jenayah yang dikaitkan dengan penagihan.
•Mengurangkan amalan berisiko melalui suntikan dadah


Mitos Terapi Gantian Methadone



Mitos # 1: Pengambilan methadone adalah sama seperti mengambil dadah opiod heroin atau morfin

Fakta: Methadone adalah tidak sama dengan dadah opioid heroin atau morfin. Methadone adalah sejenis ubat yang digunakan dalam merawat kebergantungan dadah opiod seperti heroin dan morfin. Tindakbalas methadone di dalam badan juga berbeza dengan tiada kesan sedatif jika diambil berbanding pengambilan heroin atau morfin. Malah pengambilan methadone tidak akan menyebabkan urin positif dan bebas daripada tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Mitos # 2: Pesakit methadone yang telah tidak mengambil sebarang dadah terlarang lain sebenarnya mempunyai masalah ketagih kepada methadone pula.

Fakta: Pesakit tidak ketagih kepada methadone tetapi memerlukan rawatan methadone yang berterusan untuk mengekalkan status pemulihan. Methadone yang diambil dengan betul adalah selamat dan bermanfaat, bukan sebaliknya. Konsep rawatan berterusan ini adalah sama dengan konsep rawatan pesakit-pesakit penyakit kronik lain seperti pesakit diabetes, pesakit hipertensi, pesakit asma yang perlu mengambil ubat-ubatan mereka seumur hidup bagi mengawal penyakit mereka.

Mitos # 3: Pesakit yang berada di dalam rawatan methadone tidak boleh melakukan kerja berat dan menunjukkan prestasi kerja yang tidak baik

Fakta: Pesakit methadone yang stabil mampu bekerja berat dengan prestasi kerja yang jauh lebih baik berbanding jika masih mengambil dadah. Pesakit methadone tidak akan mengalami sebarang kesan gian, lentok, lalok ataupun khayal semasa bekerja. Melalui kesan methadone yang lama iaitu sehingga 24jam, pesakit tidak akan merasa gian, tidak perlu resah tentang cara mendapatkan dadah dan bebas daripada kesan khayal selepas mengambil dadah. Maka pesakit boleh fokus bekerja dengan baik. Pesakit sering menyifatkan keadaan mereka sebagai normal dan prestasi kerja sama sekali tidak akan terjejas. Kajian menunjukkan pesakit methadone yang stabil mempunyai koordinasi mata dengan tangan, tindakbalas respon dan pemerhatian yang baik seperti individu normal yang lain.

Mitos # 4: Methadone akan menyebabkan pereputan gigi dan tulang

Fakta: Methadone tidak akan menyebabkan pereputan gigi dan tulang. Salah satu kesan sampingan pengambilan methadone hanyalah pengeringan mulut disebabkan oleh pengurangan rembesan air liur. Pesakit sering dinasihatkan agar menjaga kebersihan gigi, mengurangkan pengambilan gula dan minum air dengan mencukupi bagi mengelakkan gejala kekeringan mulut. Masalah pesakit mengalami sakit pinggang atau sengal tulang adalah mungkin disebabkan kesan gian yang dialami pesakit dan bukannya disebabkan oleh methadone. pesakit perlu berjumpa dan berbincang dengan pegawai perubatan mengenai dos methadone yang mungkin tidak mencukupi.

Mitos # 5: Pengambilan methadone semasa hamil adalah tidak selamat

Fakta: Methadone adalah ubat yang selamat untuk digunakan bagi merawat masalah kebergantungan opiod dalam kalangan pesakit hamil. Kajian menunjukkan bayi di dalam kandungan tidak mengalami sebarang kecacatan atau tumbesaran yang perlahan dalam tempoh pengambilan methadone oleh ibu. Manakala pengambilan dadah terlarang secara berterusan semasa hamil akan lebih berisiko menyebabkan kecacatan dan mudarat kepada bayi.

Mitos # 6: Sukar untuk memulakan dan berhenti daripada rawatan methadone

Fakta: Setiap pesakit yang ingin dimulakan rawatan methadone perlu disaring terlebih dahulu seperti pemeriksaan darah dan fungsi hati, perkara ini penting bagi memudahkan pegawai perubatan menentukan dos methadone yang selamat untuk diambil pesakit. Disebabkan methadone merupakan ubat sintetik, dos yang diperlukan untuk rawatan adalah berbeza berbanding pengambilan dos heroin atau morfin. Oleh itu saringan perubatan hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Pesakit methadone hendaklah menjalani rawatan sekurang-kurangnya selama 12 bulan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang berkesan. Selepas tempoh itu, jika pesakit yakin akan pemulihan mereka, pesakit dibenarkan untuk melakukan penurunan dos secara berperingkat sebelum boleh berhenti mengambil methadone sepenuhnya.

Persoalan mengenai Terapi Gantian Methadone?


Jika kurang jelas berkenaan therapy gentian methadone ini, boleh ajukan di ruangan komen atau bertanyakan kepada mana-mana ahli farmasi berdekatan anda.

#AskYourPharmacist

Sumber dan rujukan :
1. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia . (2016 Mei). Polisi Dan Prosedur Operasi Piawai Program Rawatan Methadone Edisi Kedua. Putrajaya
2. Portal Rasmi Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM : Methadone Replacement Therapy. Dipetik dari http://www.pharmacy.gov.my/v2/en/content/methadone-replacement-therapy.html
3. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2016 May 3). Mitos Dan Fakta Rawatan Methadone. Facebook status. Dipetik dari https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/10153430503401237:0

2 comments:

  1. terimakasih atas informasinya, jangan lupa kunjungi kami di http://blackwaletfacialsoap.com/

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...