Wednesday 4 February 2015

Pemindahan Organ Dalam Islam

derma organ

Saban tahun, bilangan pesakit yang menderita akibat penyakit kegagalan organ kian meningkat. Kebanyakan pesakit ini sesuai untuk menjalani pembedahan pemindahan organ bagi menggantikan organ yang rosak. Walau bagaimanapun, halangan utama yang dihadapi oleh sistem kesihatan negara ini bagi membantu pesakit tersebut adalah jumlah penderma organ dan tisu yang amat rendah.

Antara punca permasalahan yang telah dikenal pasti adalah tanggapan yang kurang tepat mengenai pandangan agama terhadap pendermaan organ terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Pemindahan organ dan islam



Tidak ada istilah “putus asa” dalam Islam. Ini termasuklah soal merawat penyakit, bertepatan dengan hadis berikut :

kecuali penyakit tua

Daripada Usamah ibn Syarik, beliau berkata, sekumpulan orang Badawi berkata, “Ya Rasulullah, bolehkah kami mendapatkan rawatan?” Baginda menjawab, “Ya boleh, wahai hamba-hamba Allah, dapatkanlah rawatan kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan (Dia) menentukan pula untuknya penyembuhan atau ubat kecuali satu penyakit.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah penyakit itu?” Baginda bersabda, “Penyakit tua.”

(Al-Tirmidzi, Muhammad ibn ‘Isa ibn Sawrah ibn Musa ibn Dahhak. (1975). Sunan al-Tirmidzi. Fasal Perubatan, Bab Tentang Mendapatkan Rawatan dan Galakan Mendapatkan Rawatan. No. hadith 1961. Hukum hadith: Hassan Sahih. Jilid 4. Mesir: Mustafa al-Babi al-Halabi. Hlm. 383.)

Dengan perkembangan pesat dalam bidang perubatan moden, pelbagai kaedah rawatan penyakit telah diperkenalkan termasuklah rawatan pemindahan organ yang terbukti berjaya merawat pesakit-pesakit yang menghidap masalah kegagalan organ peringkat akhir. Organ-organ dan tisu-tisu yang boleh dipindahkan termasuklah jantung, injap jantung, hati, buah pinggang (ginjal), paru-paru, kornea mata, tulang dan kulit.

Pemindahan organ boleh dilakukan daripada penderma yang masih hidup atau penderma yang sudah meninggal dunia. Organ-organ yang boleh diambil daripada penderma yang masih hidup ialah salah satu dari dua buah pinggang dan sebahagian hati. Penderma yang sudah meninggal dunia pula boleh mendermakan semua organ dan tisu yang sesuai bagi tujuan pemindahan.

Hukum pemindahan organ.


Secara asasnya, hukum pemindahan dan pendermaan organ ialah harus. Ini kerana pemindahan dan pendermaan organ memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia yang merupakan salah satu daripada maqasid al-syar‘iyyah (objektif syariah).

Majlis Fatwa Kebangsaan


Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 23 dan 24 Jun 1970 membincangkan pemindahan organ, secara khusus pemindahan jantung dan mata. [2]

Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan jantung dan mata orang yang telah meninggal dunia kepada orang yang masih hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dengan pertimbangan-pertimbangan berikut:
(i) Dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung pada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya.
(ii) Dalam pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan terlebih dahulu.
(iii) Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.
(iv) Kebenaran hendaklah diperoleh daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota (dalam kematian biasa) atau daripada kaum keluarga (dalam kematian akibat kemalangan).

Sumber yang menjadi asas hukum ini ialah:
(i) Firman Allah SWT berkaitan memberi kemudahan seperti yang terkandung dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud, “…Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu...”.
(ii) Hadith Nabi SAW yang menyatakan kemudaratan perlu dihapuskan seperti dalam sabdanya, “ ” yang bermaksud “Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain”.
(iii) Kaedah fikah yang menetapkan boleh melakukan kemudaratan yang paling ringan antara dua kemudaratan seperti yang terkandung dalam kaedah “ bermaksud, “melakukan kemudaratan yang lebih ringan”.

Hukum keharusan menderma dan memindahkan organ juga tertakluk kepada syarat-syarat yang pada prinsipnya menjaga pelbagai kepentingan selaras dengan kehendak syariat Islam, iaitu:
(i) Tidak menyebabkan penderma (yang masih hidup) menanggung kemudaratan pada dirinya seperti mati atau cacat (hilang pendengaran, penglihatan dan kemampuan untuk bergerak).
(ii) Pemindahan berlaku dengan izin penderma berkenaan.
(iii) Keizinan berkenaan berlaku dalam keadaan penderma memiliki kelayakan penuh untuk melakukannya. Atas sebab ini, keizinan tidak boleh diberi oleh kanak-kanak, orang gila atau orang yang dipengaruhi oleh tekanan, paksaan atau kekeliruan.
(iv) Tidak berlaku dengan cara yang mencabul kehormatan manusia seperti melibatkan urusan jual beli. Sebaliknya ia perlu dilakukan berasaskan keizinan dan pendermaan semata-mata.
(v) Para doktor yang melakukan urusan pemindahan berkenaan mempunyai asas keilmuan yang cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk terhadap penderma dan penerima berdasarkan prinsip maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) seperti yang terdapat dalam syariat Islam.

Fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi


Dr. Yusuf al-Qaradawi, menyatakan bahawa pendermaan dan pemindahan organ daripada orang hidup atau yang meninggal dunia adalah harus pada saat darurat dengan syarat tidak membawa kemudaratan besar kepada penderma atau orang yang mempunyai hak ke atas dirinya. Beliau juga menegaskan bahawa harus mendermakan organ kepada orang bukan Islam, haram memperdagangkan organ, harus bagi waris dan wali menderma organ ahli keluarga yang telah meninggal dunia yang tidak berwasiat supaya organnya tidak diambil selepas meninggal dunia dan harus menerima organ daripada penderma bukan Islam. [3]

Fatwa Negeri


kurniakan organmu pada yang perlu, derma organ, quote

Terdapat banyak lagi fatwa-fatwa yang mengharuskan pemindahan organ yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri antaranya Fatwa Negeri Perlis, Sarawak, Selangor, Johor, dan Pulau Pinang.[1]

Berikut adalah ringkasan fatwa negeri-negeri tersebut:[4]

Fatwa Negeri
Tarikh
Fatwa
 Fatwa Perlis
6 Nov 1965
Derma kornea diharuskan
Fatwa Sarawak
31 Dis 1996
Derma buah pinggang adalah dibenarkan
Fatwa Selangor
2000
Pendermaan organ adalah dibenarkan; Derma organ orang Islam kepada bukan Islam adalah dibenarkan
Fatwa Johor
18 Okt 2001
Pendermaan organ, tisu dan tranplantasi adalah dilarang jika tiada tindakan segera tetapi dibenarkan dalam situasi kritikal. Mati otak diterima sebagai kematian.
Pulau Pinang
9 Dis 2010
Pendermaan organ dan tisu adalah dibenarkan. Derma organ umat Islam dan tisu kepada orang bukan Islam dan sebaliknya, dibenarkan

Info Lanjut mengenai Pemindahan Organ


a gift of life, kementerian kesihatan malaysia, derma organ

untuk maklumat lanjut berkenaan pendermaan organ ini, pembaca boleh melayari laman sesawang rasmi Unit Perkhidmatan Transplan & Pusat Sumber Transplan Nasional di www.dermaorgan.gov.my


Sumber dan rujukan:
1. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2011).  Pemindahan Organ Dari Perspektif Islam. Putrajaya.
2. Portal Rasmi Fatwa malaysia. Derma Organ - Pemindahan Jantung Dan Mata; http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/derma-organ-pemindahan-jantung-dan-mata
3. Yusuf al-Qaradawi. (1995). Fatwa Masa Kini, Jilid 7 & 8. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
4. Laman Web Rasmi : Unit Perkhidmatan Transplan & Pusat Sumber Transplan Nasional http://www.dermaorgan.gov.my/

1 comment:

  1. Terima kasih atas perkongsian Faiz... Blog baru yer ^^

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...