Monday, 12 May 2014

Artikel Palsu Bahaya Panadol : Penjelasan Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM


artikel palsu, penjelasan KKM

Sejak sekian lama, orang awam telah dimomokkan dengan penyebaran sebuah artikel yang giat disebarkan di laman sosial dan blog-blog berkenaan betapa bahayanya pengambilan panadol sebagai ubat tahan sakit. walaupun sebahagian maklumat dalam artikel tersebut ada betulnya, namum terdapat sebahagian maklumat darinya yang boleh menimbulkan keraguan kepada msyarakat.

Artikel Palsu Bahaya Panadol


Artikel yang dimaksudkan  adalah seperti berikut:

“Suami saya bekerja sebagai Jurutera IT di sebuah hospital, di mana pihak hospital sedang menyiapkan pengkalan data untuk pesakitnya. Dia mengenali rapat doktor tersebut. Doktor memberitahu suami saya, apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak sanggup mengambil Panadol atau Paracetamol.. Sebaliknya, mereka akan mencari ubatan herba Cina atau mencari altenatif lain.

Ini kerana Panadol adalah bertoksik kepada tubuh kita . Ia merosakkan organ hati . Menurut doktor tersebut, Panadol akan tinggal di dalam tubuh selama sekurang-kurangnya 5 tahun . Menurutnya lagi, pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid kerana tugasnya perlu berdiri sepanjang masa penerbangan. Dia kini baru berumur 30-an tetapi sudah perlu menjalani rawatan buah pinggang (dialisis) setiap bulan.

Alternative Treatment ( Tips )

Seperti kata doktor tersebut, sakit kepala disebabkan ketidak-seimbangan elektron/ion di dalam sel otak .

Sebagai rawatan alternatif, beliau mencadangkan membeli sebotol atau 2 botol minuman isotonik, campurkan dengan air minuman pada kadar 1:1 atau 1:2. Mudahnya, secawan isotonik dengan 2 cawan air minuman.

Saya dan suami pernah mencuba kaedah ini dan mendapati ia berkesan. Kaedah lain ialah merendam kaki ke dalam besin yang mengandungi air suam. Ia akan memberi tekanan darah menurun dari kepala anda.

Panadol adalah sejenis “pain killer”, semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.

Kita semua akan jatuh sakit apabila usia kita semakin meningkat. Untuk wanita, mereka akan melalui pengalaman melahirkan zuriat. Bayangkan mereka akan diberi dos yang kuat apabila terpaksa melalui proses beranak melalui pembedahan.. Jika anda terlalu banyak mengambil Panadol atau Paracetamol sepanjang hidup anda, seperti mereka yang ada migrain, ia akan memberi kesan sifar terhadap kesakitan yang anda alami dan anda memerlukan ubat yang lebih kuat lagi untuk mengurangkan rasa sakit. Adakah anda sanggup diberi dadah yang kuat seperti morfin?

Hargailah kehidupan anda. Fikir sebelum mudah memasukkan ubat yang “biasa” ini ke dalam mulut anda.

Maklum balas bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia


Dengan penyebaran maklumat tersebut, seorang rakan kepada penulis telah mengambil inisiatif untuk menghantar email kepada Bahagian Perkhidmatan farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan penyebaran maklumat ini pada 29 April 2013 yang lalu.

Berikut adalah maklum balas yang diterima beliau:  

kkm

Perkara : Pengambilan Ubat Paracetamol


Merujuk perkara di atas, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ingin berterima kasih di atas pertanyaan yang diajukan. Pihak kami amat menghargai usaha sebegini demi meningkatkan kualiti kesihatan rakyat Malaysia khususnya.

2. Untuk makluman pihak cik, ubat paracetamol (yang dipasarkan dalam pelbagai nama jenama seperti Panadol, Uphamol, Fepril, dan lain-lain) adalah dikategorikan sebagai ubat over-the-counter (OTC). Ini bermaksud, ubat am ini boleh diperoleh di farmasi atau kedai yang menjual tanpa perlu mendapatkan sebarang preskripsi daripada doktor.

3. Pengambilan ubat-ubatan am seperti paracetamol lazimnya digunakan bagi melegakan sakit ringan dan sederhana seperti sakit kepala, sakit pada otot atau sendi. Walaupun pengambilan ubat-ubatan am adalah bergantung pada budi bicara pengguna itu sendiri tanpa nasihat doktor, pengguna dinasihatkan agar mengambil ubat mengikut dos dan kekerapan yang telah ditetapkan seperti pada label ubat tersebut.

4. Untuk makluman, paracetamol mempunyai 'half-life' yang pendek, iaitu selama 1 - 4 jam sahaja. Ini bermakna, hampir kesemua paracetamol akan disingkirkan daripada badan dalam tempoh 24 jam. Walau bagaimanapun, pengguna juga disarankan agar tidak mengambil melebihi dos maksima yang ditetapkan, iaitu 4 gram (bersamaan 8 biji paracetamol 500 mg) dalam tempoh 24 jam .

5. Sekiranya ubat-ubatan diambil melebihi daripada dos yang ditetapkan, pengguna boleh mendapat kesan sampingan atau kesan advers akibat pengambilan dos yang berlebihan. Dalam kes paracetamol, pengguna yang mengambil dos yang sangat berlebihan boleh mendapat komplikasi seperti kerosakan hati atau buah pinggang kerana tubuh badan tidak mampu menyingkirkan paracetamol yang terlalu banyak dalam tempoh masa yang singkat. Namun begitu, mana-mana individu yang mengalami toksisiti paracetamol mungkin boleh dirawat dengan menggunakan sejenis antidot iaitu acetylcysteine sekiranya dibawa ke hospital secepat mungkin.

6. Ubat tahan sakit seperti paracetamol hanya diambil sekiranya perlu untuk menahan kesakitan secara sementara sahaja. Lazimnya, pesakit dinasihatkan agar mengambil dos yang paling rendah dan untuk tempoh yang paling singkat mengikut kesesuaian setiap individu. Sekiranya kesakitan berpanjangan atau tidak beransur pulih, pesakit dinasihatkan agar tidak mengambil ubat tahan sakit dalam dos yang berlebihan, sebaliknya berjumpalah doktor untuk mengenal pasti punca kesakitan itu berlaku.

7. Pengambilan ubat tahan sakit secara berlebihan dalam tempoh yang berpanjangan adalah tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan badan menjadi kebal terhadap ubat tahan sakit tersebut. Perkara yang dikenali sebagai 'pain tolerance' ini boleh menyebabkan tubuh badan memerlukan ubat tahan sakit yang lebih kuat atau dalam dos yang lebih tinggi bagi membantu individu tersebut menahan kesakitan.

8. Dalam mengendalikan kesakitan tubuh badan, sebarang rawatan alternatif adalah bergantung kepada pesakit itu sendiri. Kesakitan adalah perkara yang subjektif dan bergantung kepada persepsi individu itu sendiri. Walau bagaimanapun, teknik alternatif seperti berehat, bernafas dengan tenang, akupuntur, meditasi, serta berfikir secara positif boleh diamalkan untuk membantu dalam mengurangkan kesakitan pada tubuh badan.

9. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, hubungi talian bebas tol Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1800-88-6722 (NPCC).

Diharap maklumat berkenaan dapat membantu.

Sekian, terima kasih.

Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Lot 36, Jalan Universiti,
46350 Petaling Jaya, Selangor.
Tel : 03-78413200
Faks : 03-79682222

sebarang kemusykilan berkenaan ubat-ubatan dan sebagainya, sila rujuk ahli farmasi berdekatan anda.

6 comments:

  1. T kasih atas perkongsian ini.. info yg bermanfaat agar org tak semudahnya tersalah memahami..

    ReplyDelete
  2. terima kasih tuan blog...aku masuk info ni dlm blog aku
    http://kongsakongsi.blogspot.com/2014/05/kesan-panadol-kepada-kesihatan.html

    tq :)

    ReplyDelete
  3. Sangat berguna .Terima kasih atas infonya

    ReplyDelete
  4. Terima kaaih atas perkongsian yang bermanfaat ini.selama ini banyak persepsi orang terhadap panadol

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...